Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan minyak Petrol RON95 hari ini - yang dijual pada harga RM1.75 seliter.
Dua stesen minyak Petronas di Presint 9 Putrajaya akan mula menjual minyak petrol RON95 hari ini dan esok diikuti negeri-negeri lain secara berperingkat-peringkat.
Ia dilancarkan oleh Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Apabila digunakan sepenuhnya pada 1 Septermber, petrol RON95 akan menggantikan petrol RON92 yang kini dijual pada RM1.70 seliter.
Dan mulai 1 September juga, harga petrol gred premium - RON97 - akan dinaikkan kepada RM2 seliter.
Ismail berkata serentak itu RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran.
Katanya sesuai dengan status sebagai produk premium, harga RON97 tidak akan dikawal oleh kerajaan berbanding RON95 yang merupakan produk harga tetap.
Menurut Bernama, Ismail berkata, kenaikan harga RON97 di pasaran tidak perlu membuatkan rakyat berasa panik kerana RON95 menawarkan kualiti dan prestasi yang sama hebatnya.
"Walaupun harga RON95 agak tinggi berbanding RON92 yang dijual pada harga RM1.70 seliter, namun ia lebih berkualiti dan dari segi prestasi, ia jauh lebih baik berbanding RON92," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, keupayaan RON95 yang lebih tinggi membolehkan ia digunakan pada semua jenis kenderaan, termasuk kereta mewah yang diimport dari luar negara.
"Semua kereta boleh guna RON95 termasuk kereta yang berkuasa tinggi, berjenama mewah dan sebagainya. Jika sebelum ini kereta-kereta dari jenis itu menggunakan petrol RON97, kini mereka boleh beralih kepada RON95 yang lebih murah.
"Agensi kerajaan berkaitan menyokong penjualan RON95 malah perbincangan bersama industri kenderaan bermotor mendapati kebanyakan enjin yang diguna oleh kenderaan di negara ini sesuai menggunakan RON95," kata Ismail.
Kerajaan juga, katanya masih meneruskan pemberian subsidi kepada penjualan petrol sebanyak tiga sen seliter.
Source
No comments:
Post a Comment